Zapin Seni Warisan Kebanggaan Johor

TARIAN zapin sinonim dengan negeri Johor dan dikatakan menjadi pencetus tarian itu sehingga diterima oleh masyarakat dan menjadi antara kemestian dalam setiap keraian.
Malahan tarian ini sering dipaparkan dalam katalog atau risalah pelancongan negeri Johor. Ini menjadikan zapin dan Johor seperti tidak dapat dipisahkan.
Terdapat kira-kira 20 jenis tarian zapin di Johor yang gerak tarinya diasaskan oleh masyarakat Melayu tempatan, malah hampir semua daerah di negeri ini mempunyai versi tarian zapin yang tersendiri.
Di Malaysia, tarian zapin juga dikenali dengan sebutan Zafana (Arab) atau Jepin (Indonesia) mempunyai pelbagai varian, sama ada ia wujud sebagai entiti 'authoctonous' atau hibrid.
Antara tarian Zapin popular di Johor ialah zapin Melayu Johor, zapin Lenga dan Putar Alam dari Muar selain zapin Pulau dan Tenglu (Mersing), zapin Lapis Batu Putih (Batu Pahat) dan zapin Parit Mastar (Pontian) serta zapin Selat Panjang (Kluang) yang masing-masing mempunyai keunikan tersendiri daripada segi gerak tari, muzik, seni kata dan pakaian.

Penari zapin wanita dan lelaki menunjukkan cara menari zapin. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin
Terus terpelihara
Tarian zapin hidup dengan suburnya dan berakar umbi di seluruh pelusuk Johor dan pada satu masa dulu, tarian itu pernah dijadikan sebagai satu kemestian bagi pelbagai acara keramaian seperti majlis perkahwinan, aktiviti masyarakat kampung, cukur rambut dan khatam al-Quran.
Menariknya seni zapin mula berkembang di Johor sejak kira-kita 500 tahun dahulu sehingga kini masih memberikan keutamaan kepada nilai murni dan resam budaya Melayu.
Rentak tarian zapin mengikut resam padi lebih berisi menunduk ke bumi yang memerlukan penari memperhalusi tingkah laku dan gerak tarinya sejajar dengan iringan muzik dan instrumen seperti gambus, harmonium, marwas, tamborin dan markas.
Jika dahulu hanya lelaki boleh menari zapin, manakala kaum wanita sebagai penonton, namun peredaran zaman dan perkembangan pesatnya tarian itu menjadikan wanita turut mempersembahkan tarian zapin bermula pada tahun 1970-an.
Hari ini, boleh dilihat Johor terus serius dalam memulihara seni warisan Melayu itu dan ia dapat dilihat daripada penciptaan tarian zapin oleh pengasasnya dan pewaris serta penggiat yang meneruskannya.
Memelihara keaslian
Yang Dipertua Persatuan Penggiat Zapin Johor (PE-ZAPIN), Abd Razak Rahmat, berkata persatuan itu ditubuhkan secara rasmi pada tahun 2010 dalam usaha untuk terus memartabatkan keaslian tarian zapin di negeri ini dan melahirkan lebih ramai pelapis bagi tarian warisan itu.

Yang Dipertua Persatuan Penggiat Zapin Johor, Abd. Razak Rahmat. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin
Persatuan ini ditubuhkan sejak tahun 2008 kerana permintaan oleh pengasas, pewaris dan penerus tarian zapin yang menyifatkan kebanyakan langkah tarian pada masa ini sudah tidak ada keaslian.
"Melihat kepada keadaan ini, PE-ZAPIN ditubuhkan di Batu Pahat dengan persetujuan 10 guru zapin. Penubuhan persatuan ini bagi membela dan memastikan keaslian tarian zapin tidak hilang kerana ia adalah warisan bangsa Melayu yang tidak ternilai," katanya.
Abd Razak berkata, misi pertama persatuan pada ketika itu bergerak ke setiap sekolah di negeri ini dalam usaha memugar semula seni tarian zapin menerusi program kesenian.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Salam Pertemuan